Assalamualaikum, rasanya dah 3 hari saya tidak menulis apa-apa entri untuk blog ini. Saya meninggalkan dunia blogging buat sementara kerana ada urusan yang lebih penting yang sepatutnya saya uruskan. Blogging cuma sekadar hobi dan tujuan menyampaikan maklumat kepada semua muslim. Kali ini saya akan bercerita lebih pada salah satu rukun agama yang sering dilupakan iaitu "Dakwah".
Dakwah dalam bahasa arab bermaksud 'menyeru' atau 'mengajak'. Seseorang yang mengamalkan dakwah sama ada seorang yang bertugas dalam institusi agama atau orang awam yang mengamalkan usaha dakwah secara sukarela hanya kerana Allah yang digelar da'i. Tugas seorang da'i adalah menjemput umat seseorang memahami Islam melalui proses dialog.
Dalam masyarakat kini, dakwah bukanlah sesuatu yang menjadi keutamaan dalam proses memajukan dan membangunkan sesebuah negara. Dakwah juga tidak dijadikan teras untuk mewujudkan modal insan yang dilaungkan kebanyakan pemimpin-pemimpin zaman sekarang. Pandangan ini ternyata satu kesilapan besar umat ini kerana menyangka kerja-kerja yang dilakukan Nabi S.A.W. dan para sahabat r.a. tidak lagi relevan pada zaman moden ini.
Peningkatan gejala sosial dan jenayah seperti penzinaan, dadah, rogol, pembunuhan, rasuah dan macam-macam lagi kejahatan yang berlaku di atas muka bumi Allah ini bukanlah kerana kurangnya didikan tentang agama, pengaruh-pengaruh dari rakan sebaya atau negara kita tidak melaksanakan hukum hudud. Tetapi, gejala-gejala ini berlaku kerana kurangnya usaha dakwah dalam negara kita.
Usaha ini dianggap 'enteng' oleh umat Islam di Malaysia khususnya. Kita didedahkan dengan pengajaran di sekolah melalui Pendidikan Islam. Tapi berapa banyak sekolah yang mengajar tentang kebesaran Allah, maksud sebenar kalimah ' Lailahaillallah', dan kesedaran tentang masalah umat yang tidak mahu menerima Islam cara Nabi S.A.W.
Kebelakangan ini, umat Islam digemparkan dengan isu murtad yang berlaku di kalangan umat ini. Bagaimana ini terjadi? Adakah salah ibu bapa? Salah guru yang tidak mendidik? atau salah pemimpin yang tidak melaksanakan hukum hudud? Jawapannya tentu tidak. Islam bukan agama yang menakutkan kerana melaksanakan hudud. Hudud adalah hukum Allah yang wajib dilaksanakan dan jika ada yang menafikan kewajipan hukum ini, maka mereka bukanlah terdiri dari golongan yang beriman. Tetapi, adakah hukum hudud berjalan seiring dengan usaha dakwah yang dilakukan secara meluas?
Pada zaman Nabi, Nabi S.A.W. melaksanakan hudud di Madinah selepas Kota Madinah menjadi sebuah Negara yang dihasilkan melalui usaha dakwah. Adakah negara kita melakukan usaha tersebut. Terdapat sebilangan kecil umat yang mempunyai kesedaran tentang masalah umat ini dan Allah telah bukakan hati mereka untuk melakukan usaha-usaha ini. Tidak dapat dinafikan usaha dakwah yang paling efektif dari zaman Nabi S.A.W. hingga hari kiamat adalah mengikut cara Nabi S.A.W.
Ramai ustaz-ustaz, ulama-ulama serta kiyai-kiyai yang mengaku Nabi S.A.W. adalah contoh terbaik tetapi menafikannya dari segi amalan dan usaha. Adakah orang-orang agama yang mementingkan kerusi mereka akan melakukan usaha nabi ini? Wallahualam, moga Allah ampunkan dan memberi hidayah kepada mereka. Dengan cara berpolitik, maki-memaki, meyebut aib-aib orang dan sebagainya adalah cara dakwah? Nabi tidak melakukannya. Ulama' bukan maksum untuk kita taksub kepadanya.
Bagaimana dakwah yang terbaik? Bagaimana dakwah zaman Nabi S.A.W.? Dakwah yang paling afdal, cara Nabi S.A.W. adalah menziarah rumah ke rumah, pintu ke pintu, lorong ke lorong, untuk mengajar kalimah 'Lailahaillallah' kepada umat manusia. Pernahkah ada orang-orang atau jemaah yang melakukan usaha ini datang kerumah anda? Apa reaksi anda? Buat-buat tak dengar? Mendiamkan diri setelah mendengar salam? atau anda keluar untuk mendengar tentang Islam dari mereka? Semua jawapan ada dalam diri masing-masing. Moga Allah memberi hidayah pada kita untuk menerima Islam keseluruhannya. Tidak ada kekhilafan dikalangan ulama' besar tentang cara berdakwah ini. Kerana Rasulullah S.A.W. adalah contoh yang terbaik. Adakah anda menafikannya?
Kristian juga mengakui dakwah adalah pendekatan paling berkesan. Kita menangkap mereka yang mengajak umat Islam memeluk agama mereka, adakah kita berjaya menyelesaikan masalah ini? Kenapa tidak ditangkap kesemua mubaligh kristian? Terbukti cara menangkap mereka bukanlah cara yang afdal, sedangkan akidah umat Islam masih lagi terpesong dan penuh unsur-unsur khurafat dan syirik. Mereka melakukan dakwah, orang Islam risau. Tetapi, adakah orang Islam menjalankan usaha dakwah? Malah orang Islam ada segelintir yang tidak suka dakwah Islam itu sendiri. Tanya diri anda, adakah anda sedia untuk menjalankan usaha ini yang diwasiatkan untuk umat ini? Allah lebih mengetahui.