Khamis, 5 Mei 2011

Hudud, Masih Relevan?

Assalamualaikum. Kali ini saya terpanggil untuk mengeluarkan pendapat saya berkenaan dengan hudud. Saya bukanlah penyokong mana-mana parti politik atau mana-mana gerakan. Saya lebih cenderung untuk menyatakan pendapat saya sebagai seorang Islam. Islam yang luas memberi kita ruang untuk menyatakan pendapat. Jika ada silap dan khilaf minta teguran yang bernas dari tuan-tuan sekalian. Janganlah dikafirkan saya dan janganlah terlalu taksub dengan pendapat ini. Ini sekadar buah fikiran saya yang hina ini.






Adapun saya telah meneliti dari segala sudut, pendapat alim ulama, kitab-kitab, isu-isu politik, keadaan semasa, dan realiti yang kita alami sekarang. Tidak melampau kalau saya katakan hudud masih belum relevan untuk dilaksanakan dalam negara kita yang tercinta ini. Bukan tidak relevan, tapi masih belum relevan. Kita tengok faktor-faktor saya berpendapat sedemikian.







Cth: Memotong Tangan Pencuri. Benar sekali hukuman paling setimpal untuk si pencuri adalah memotong tangannya kerana disamping menyedarkan si pencuri, hukuman ini juga dapat menakutkan orang lain untuk melakukan perkara yang sama. Maka hukuman ini RELEVAN.
Kita pandang pula dari sudut keseluruhan Islam itu sendiri. Keindahan Islam dan keadilan dalam Islam. Pada zaman kini, di dalam zaman fitnah. Bila kita lihat umat Islam hidup dalam keadaan tidak cukup makan, menderita, yang kuat menindas yang lemah, orang-orang atasan baik dari kerajaan dan pembangkang membelanjakan duit rakyat, korupsi bermaharajalela, rasuah berleluasa, zakat tidak dibahagikan dengan betul kepada umat Islam dan macam-macam hal negatif tentang dunia Islam.
Adakah kita harus memotong tangan rakyat miskin yang terpaksa mencuri kerana mencari sesuap nasi? Apakah kita patut memotong tangan si pencuri yang mencuri kerana ibunya sakit, anaknya tidak dapat bersekolah, dan tidak dapat bantuan dari pihak kerajaan lebih-lebih lagi badan-badan zakat yang bertanggungjawab dalam pengurusan zakat? Adakah adil Islam itu jika kita potong tangan si pencuri tetapi penyangak besar yang menggelapkan wang negara dilepaskan?
Maka jika tangan si pencuri dipotong akan banyak bantahan-bantahan dari badan-badan hak asasi manusia. Bagaimana jika orang bukan Islam melihat keadaan ini? Islam akan dikecam kejam, tidak adil dan agama yang mundur.

Jadi bila hukuman ini relevan untuk dilaksanakan?

Hukuman potong tangan bagi orang yang mencuri akan menjadi relevan bila Islam dilaksanakan secara keseluruhan. Bila badan-badan zakat mengagihkan zakat dengan betul. Bila tiada penyelewengan wang rakyat. Andaikata seseorang itu susah,dia boleh minta pertolongan dengan orang Islam, dia boleh ke Baitulmal, dan bantuan-bantuan mudah untuk disalurkan kepadanya. Tetapi,dia memilih jalan untuk mencuri, kita potong tangannya.

Inilah yang menjadi punca kenapa hudud tidak dapat dilaksanakan. Kita menyokong segala ajaran Islam dilaksanakan. Tetapi hendaklah dilaksanakan dengan pemikiran yang luas dan terbuka. Islam agama yang indah. Pandukan Al-Quran dan Sunnah sepenuhnya. Bukan hanya ambil berberapa potong ayat sahaja. Sekian.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lihat Apa Info Baru